Ganjaran peroleh ilmu

 

Assalamualaikum,

Saudara,

Kalaulah kita tahu betapa besar dan banyaknya pahala belajar ilmu mengenai Islam dan syariatnya itu, mungkin ramai para ilmuwan dan ulama' yang berkejar-kejar mencari peluang untuk mengajarkannya, dan berpusu-pusulah pula orang Islam hadhir di majlis-majlis ilmu sedemikian. Ramai pula para ulama' yang dengan sukarela mengajarkan ilmu tanpa mengharap atau meminta 'ukhra' (upah atau bayaran). Tambahan pula kalau mereka tahu betapa besarnya dosa seseorang yang berilmu itu menyembunyikan ilmunya atau enggan mengajarkan atau menyebarkan ilmunya atau menggunakan ilmu yang ada padanya demi mencari kesenangan atau kemewahan dunia!

Apakah ganjaran pahala mengajarkan ilmu? Kita teliti hadith berikut:

 

Diriwayatkan hadith daripada Abi Zarr (r.a) berkata: Telah bersabda Rasulallah (s.a.w) kepada aku: Wahai Aba Zarr! Nescaya sungguh berpagi-pagi engkau belajar satu ayat daripada Kitab Allah (a.w) (yakni, al-Quran, atau ilmu al-Quran), lebih baik bagi engkau dari jika engkau bersolat sunat 100 rakaat. Dan nescaya berpagi-pagi engkau belajar satu bab daripada ilmu (al-Hadith), (sama ada) engkau beramal atau tidak beramal dengannya, lebih baik dari jika engkau bersolat sunat 1,000 rakaat. [Hadith sahih ibnu Majah]

 

Fikirkanlah betapa hebatnya ganjaran pahala yang kita dapati mempelajari hanya sepotong ayat al-Quran (yakni, belajar membacanya, faham akan maksud atau mesejnya dan dapat pula menyampaikan atau menerangkan kepada orang lain mesejnya), kita mendapat pahala melebihi pahala mengerjakan solat sunat 100 rakaat. Demikian juga mempelajari ilmu as-Sunnah atau al-hadith. Mempelajari satu bab as-Sunnah atau al-hadith, katalah tentang Wudu', kita faham dan kita boleh pula menerangkan kepada orang lain, kita mendapat pahala melebihi pahala bersolat sunat 1,000 rakaat pula. Mampukah kita sekarang ini mengerjakan solat sunat 100 rakaat sehari? Lebih-lebih lagi adakah termampu kita mengerjakan solat sunat 1,000 rakaat sehari? Solat rawatibpun kita tidak mampu.

 

http://yayasan-ilmu.blogspot.com/2009/12/ganjaran-belajar-ilmu.html